Monday, December 7, 2009

UPSI

Assalamualaikum.....

SmileySmileySmiley

** Disebabkan ada dalam kalangan pembaca yang tidak fasih berbahasa Melayu dan untuk membantu mereka mempelajari Bahasa Ibunda ini, saya mengambil inisiatif mengarang cerita ini dalam perkataan yang betul. Maksudnya tiada loghat ataupun singkatan perkataan yang menyukarkan pemahaman mereka. Maka, karangan saya ini boleh diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris mengikut kretiviti mereka.


Alhamdulillah...sudah 6 bulan saya berpijak di tanah pusaka UPSI ini. Walaupun pada 3 bulan pertama saya merasakan universiti ini agak ‘pelik’, namun saya bersyukur kerana diberi peluang untuk sama-sama merasai secebis tinggalan dan nastogia sejarah yang masih terpahat kukuh di tanah pusaka UPSI ini. Jadi, di kesempatan ini saya akan bercerita tentang sejarah UPSI berdasarkan pengetahuan dan pembacaan saya sebelum ini. Sebelum itu, berikut merupakan maklumat-maklumat yang mungkin berguna dan ada kaitan dengan sejarah yang akan saya ceritakan ini.


Nama : Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Lokasi : Universiti Pendidikan Sultan Idris, Batang Padang, Ulu Bernam, Perak
Perkhidmatan Pengangkutan terdekat : Stesen Bas Tanjung Malim (~10 minit)
Stesen Teksi Tanjung Malim (~10 minit)
Stesen KTM / Komuter (~5 minit)
Lokasi shoping yang terdekat : Pekan Tanjung Malim (~10minit)
Pasaraya yang popular di Tg. Malim : Grand Union
Tempoh Perjalanan Ke Kuala Lumpur : 1 jam sahaja (Bas – RM 7.00)
Komuter Tg. Malim – Rawang – KLCentral (RM 7.00 ~ 1 jam)
Perbanking terdekat (pekan) : BCB, BIMB, MayBank, Public Bank, EON Bank
Perkhimatan lain : Balai Polis Tg. Malim (~3 minit)
Balai Bomba Tg. Malim (~3 minit)
Pejabat Pos (~3 minit)
Medan Selera Tg. Malim (~3 minit)
Sungai Terdekat : Sungai Bernam (~3 minit)
Negeri Jiran : Selangor (~5minit)
Tempoh ke Proton City : disini terletak nyer dewan kuliah saya (~15 minit)
Tempoh ke Kota Malim Prima : disinilah saya menyewa (~15 minit)
Pengangkutan Popular Pelajar : Bas / basikal
Tambang ke Pekan : Prebet Sapu (RM 5.00)
Bas (Free)


**Note : ~ bermaksud approximately


Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang penting dalam sejarah pendidikan negara. Institusi ini berkembang secara bertahap dari sebuah kolej kepada sebuah universiti. Agak menarik meneliti tahap perkembangan institusi ini, kerana ia meniti satu landasan sejarah yang sama, mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar di tanah pusaka yang sama. Secara kronologi, perkembangan Universiti Pendidikan Sultan Idris telah melalui 4 era, iaitu :
i) era Sultan Idris Training College for Malay Teachers (SITC) : 29 November 1922 - 1957
ii) era Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) : 1957 - 1987
iii) era Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) : 21 Februari 1987 – April 1997
iv) era Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) : 1 Mei 1997 – sekarang

Ketiga-tiga era SITC – MPSI - IPSI juga memperlihat wadah generasi pendidik yang dilahirkan oleh institusi ini dalam tempoh 75 tahun. Tanggal 1 Mei 1997 bermulalah lembaran barunya sebagai sebuah universiti, apabila universiti ini diperbadankan di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997. Ia adalah Universiti Pendidikan pertama negara ini dan juga merupakan institusi latihan perguruan tertua di negara ini.

Walaupun Universiti Pendidikan Sultan Idris (yang dikenali dengan nama singkatannya UPSI) boleh dianggap antara universiti termuda di negara ini apabila hanya bermula pada 1 Mei 1997, namun sejarah susur galur penubuhannya cukup lama, sejak 29 November 1922. Bertapa beruntungnya saya berada di tanah pusaka yang berusia 87 tahun ini. Penuh nostagial yang tersirat saya fikir!!

Peranan R.O Winstedt (Timbalan Pengarah Sekolah-Sekolah Melayu) tercatat dalam sejarah SITC sebagai tokoh terawal yang mengilhamkan cadangan agar ditubuhkan sebuah maktab atau pusat bagi latihan perguruan paling tinggi khusus untuk orang-orang Melayu dan bagi meluaskan skop pendidikan pada ketika itu. Selain itu, ia juga bagi menggantikan Kolej di Melaka dan di Matang yang ditutup. Ilham ini timbul setelah kepulangan beliau dari lawatan ke Tanah Jawa dan Filipina. Cadangan ini dibawa ke persidangan Residen-Residen pada 10 Mei 1917.

Beliau juga turut menyarankan supaya tapak tempat maktab yang bakal didirikan itu mestilah mempunyai tanah yang subur, bagi menampung keperluan kurikulum yang banyak dan berteraskan kemahiran dalam bidang pertanian. Tempat yang dipilih juga seharusnya berdekatan dengan rangkaian kereta api, jalan raya dan berhampiran dengan sungai. Satu lagi aspek yang difikirkan adalah komposisi penduduknya haruslah sederhana ramai. Dalam proses mencari tempat yang sesuai itu, Tanjung Malim dilihat sebagai satu-satunya tempat yang paling menepati ciri-ciri lokasi dan faktor geografi sebagaimana yang dihasratkan oleh Winstedt. Pada 26 Mei 1917, Tanjung Malim secara rasmi dipilih sebagai tempat pembinaan maktab.

Pada tarikh yang sama juga cadangan untuk memberikan nama maktab ini sebagai Sultan Idris Training College (SITC) telah dimaklumkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah. Cadangan ini diperkenankan Baginda. Pesuruhjaya Tinggi British kemudiannya telah mengumumkan untuk menubuhkan sebuah Maktab Pusat yang besar bagi guru-guru Melayu. Maktab yang dinamakan The Sultan Idris Training College for Malay Teachers yang dikenali dengan nama ringkasnya sebagai SITC. Nama Almarhum Sultan Idris Shah diabadikan pada nama maktab ini sebagai mengenang jasa dan sumbangan besar Almarhum dalam bidang pendidikan. Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursidul Adzam Shah ialah Sultan Perak yang ke-28 yang memerintah negeri Perak antara tahun 1889 – 1916. Tapak tanah seluas 64 hektar telah dibeli di Tanjung Malim dengan harga $49,000.00 dan kerja-kerja pembinaan bermula pada bulan Ogos 1919. Reka bentuk bangunannya berunsur seni bina Belanda ala Gothic Zaman Pertengahan. Pada tahun 1922, pembinaan maktab siap sepenuhnya.

Pada 29 November 1922 SITC dirasmikan oleh Sir W. George Maxwell, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Bermula 19 November 1922, pengambilan kumpulan pertama penuntut lelaki berjumlah 115 orang dilaksanakan. Beberapa hari selepas pendaftaran itu, sejumlah lima orang penuntut lagi diterima masuk yang membawa jumlah keseluruhannya 120 orang sebagai permulaan untuk mengikuti kursus selama 3 tahun dan mula beroperasi pada 23 November 1922. Kumpulan pertama guru pelatih (penuntut) ini sebenarnya terdiri daripada 70 orang dari Maktab Perguruan Melayu Melaka dan 50 orang lagi dari Maktab Perguruan Matang.

Jumlah tenaga pengajarnya pula terdiri daripada 4 orang berbangsa Eropah, 7 orang guru Melayu, seorang guru anyaman dari Manila dan seorang guru Qur’an dari Matang. Mereka ialah O.T. Dussek, W.R. Holgate, W.B. O’Sullivan, D.H. Gris, Mohammad Hashim, Noordin, Ibrahim, Abdul Rahman, Hanafiah, Mohamad Said, Abdul Hadi, Mr. Olaguera (Manila) dan Lebai Jaafar Abdul Rashid (Qur’an). O.T. Dussek dilantik sebagai Pengetua SITC yang pertama (1922 – 1936). Beliau banyak membentuk dan memungkinkan perkembangan golongan intelek asli atau anak negeri. Bahkan beliau pernah membayangkan SITC yang bakal ditubuhkan itu sebagai "sebuah Universiti Anak Negeri Dalam Kandungan".

Dan yang terpenting, O. T. Dussek berusaha keras agar “SITC hanya dikhususkan untuk melatih bakal guru daripada kaum Melayu (termasuk dari Singapura, Sumatera dan Brunei) dan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak sahaja.” Dan dapat dilihat bahawa dasar O. T. Dussek tersebut dipertahan oleh tenaga pengajar dan pengetua Melayu seperti Zainal Abidin Ahmad (Pendita Za’ba) dan aktivis penuntut Melayu ketika itu, antaranya Ibrahim Yaakob, Tun Abdul Ghaffar Baba dan Buyung Adil. Pada tahun 1923 jumlah tenaga pengajar bertambah. Pertambahan ini melibatkan 10 orang guru berbangsa Melayu dan seorang berbangsa Filipina. Guru-guru ini pada asalnya merupakan tenaga pengajar dari Maktab Perguruan Matang yang telah ditutup dan sebahagiannya dari Maktab Perguruan Melaka.

Tujuan asal maktab ini ditubuhkan adalah untuk melatih guru-guru untuk sekolah-sekolah Melayu, disamping itu pihak British juga berharap lepasan SITC akan dapat digunakan sebagai tenaga pekerja mereka. SITC berkembang pantas. SITC kemudiannya seolah-olah menjadi Pusat Kehidupan Intelektual Melayu dengan guru-guru pelatih yang datang dari segenap pelosok Semenanjung. Malahan, guru-guru pelatih tersebut tidak terbatas kepada orang-orang Melayu di Tanah Melayu sahaja malah meluas hingga ke Brunei, Borneo dan Singapura. Pertemuan guru-guru pelatih Melayu ini secara langsung atau tidak langsung telah menyedarkan mereka tentang tanggungjawab meninggikan tahap pelajaran anak-anak Melayu dan membawa kepada perkembangan golongan terpelajar Melayu yang bersemangat kebangsaan. Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat, Sir Wolffe dalam ucapannya sewaktu perasmian SITC menyatakan bahawa, hari tersebut manandakan hari bersejarah bagi orang-orang Melayu kerana ia (Penubuhan SITC) merupakan titik tolak dalam perkembangan vernakular Melayu. Menurutnya lagi, orang-orag Melayu merasakan suatu pengiktirafan besar serta penghargaan yang tiada tolok bandingnya bagi peningkatan taraf pelajaran anak-anak Melayu. Kurikulum latihan perguruan di SITC tertumpu kepada pengetahuan asas keguruan di samping kraf tangan dan pertanian. Sejak ditubuhkan, institusi ini terus unggul berbakti kepada bangsa dan negara. Ia disifatkan seagai ‘universiti’ yang unggul bagi melatih guru-guru Melayu.

Pada bulan Mac 1924, SITC mengeluarkan guru terlatihnya yang pertama seramai 58 orang. Jumlah guru pelatih yang dikeluarkan semakin meningkat dari setahun ke setahun. Dalam era ini jugalah bermulanya usaha membina peradaban bangsa menerusi bahasa Melayu. Pejabat Karang Mengarang menjadi lidah pengungkap yang memanjang dan meninggikan bahasa ibunda. Usaha ini berkembang subur di tangan Bapa Bahasa Melayu Moden, Pendeta Za’ba. Pejabat Karang Mengarang terus dikembangkan fungsi hingga berjaya menebitkan banyak buku, majalah dan risalah. Antara terbitan terkenal, Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa, karangan Za’ba. Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan Malaysia (1984-1989), beliau pernah mengingatkan agar “roh” Pejabat Karang Mengarang terus disuburkan dalam usaha mengembangkan dan memasyarakatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, bahasa penghantar ilmu/pendidikan, bahasa komunikasi dan bahasa pentadbiran negara Malaysia.

Semasa Perang Dunia Kedua, SITC telah dijadikan Hospital Tentera British dan kemudiannya setelah tentera British berundur, ianya telah dijadikan Markas Tentera Jepun. Para penuntutnya berpindah ke Kuala Kangsar. Apabila perang mula merebak, mereka diarahkan pulang ke kampung masing-masing. Selepas perang, SITC dibuka semula, kali ini dengan para penuntut yang lebih bersemangat. Semangat kebangsaan mula bercambah subur di SITC dan para pelajar semakin berani menuntut hak-hak mereka sehingga berlaku tunjuk perasaan pada 10 Disember 1949 dan SITC ditutup selama 3 bulan ekoran dari peristiwa itu. Keunggulan SITC membentuk pelajar dan pelajaran Melayu terbukti sehingga selesai Perang Dunia Kedua, bahkan hingga beberapa tahun selepasnya, sebelum wujud beberapa institusi pengajian tinggi lainnya. Menjelang Kemerdekaan 1957, SITC telah dapat menyediakan segolongan intelek Melayu yang berjiwa kebangsaan dan ini penting untuk mengisi ruang kemerdekaan.

Pada tahun 1957 nama SITC ditukarkan kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Langkah ini dilakukan bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak dimana MPSI ditubuhkan khusus untuk melatih guru-guru sekolah rendah. Dari tarikh ini bermulalah era MPSI yang membawa wajah, watak dan keperibadian Melayu, apabila pentadbiran SITC yang selama ini diketuai orang-orang Eropah beralih tangan kepada cendekiawan Melayu. Zainal Abidin Ali merupakan anak tempatan pertama yang telah dilantik sebagai Pengetua SITC pada tahun 1958. Banyak subjek baru diperkenalkan manakala tempoh latihan dipanjangkan daripada 3 kepada 5 tahun.

Meskipun berubah pada nama, namun tradisi SITC menjadi akar yang menumbuhkan kecemerlangan institusi ini dalam era MPSI dan era-era seterusnya. Peranan MPSI tidak setakat melatih dan mendidik bakal guru, namun menjadi medan pengungkap bicara dan suara hati para cerdik pandai dan nasionalis Melayu. Pembinaan bahasa Melayu sebagai satu korpus dikukuhkan lagi dengan kemunculan tradisi penulisan kreatif dalam kalangan guru pelatih dan tenaga pengajar. Tradisi ini sudah bermula dalam era SITC di tangan Aminurrasyid dan Punggok, tetapi berkembang luas dalam era MPSI. Pada waktu inilah munculnya beberapa tokoh besar penyair, cerpenis dan novelis Melayu. Antaranya ialah A. Wahab Ali, Ali Majod, Kasmani Haji Arif, Awang Had Salleh, Hassan Ali, Othman Puteh, Dharmawijaya, Kemala, Suhaimi Haji Muhammad, Shahnon Ahmad, Suratman Markasan, Masuri S.N. dan Yura Halim. Selain itu, SITC turut melahirkan tokoh dalam bidang pendidikan seperti Tan Sri Awang Had Salleh serta pemimpin politik iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghaffar Baba dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Pada 13 Januari 1975, MPSI memecah tradisi, setelah 53 tahun dihuni oleh penuntut lelaki sahaja, kini mula menerima 140 orang penuntut perempuan, iaitu diawali dengan penyerapan sekumpulan penuntut perempuan daripada Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka. Perkembangan baru ini mewujudkan senario dalam tradisi MPSI. Meskipun penuntut perempuan diterima masuk, namun MPSI terus ke depan sebagai sebuah institusi perguruan yang cemerlang dan terunggul di negara ini tanpa membezakan taraf dan jantina.

Era MPSI berakhir pada 21 Februari 1987 apabila tarafnya sebagai sebuah maktab ditingkatkan menjadi sebuah institut dengan nama Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI). Era IPSI merupakan satu zaman mencabar, kerana kedudukannya sebagai sebuah institusi bukan hanya meninggikan nama semata-mata, tetapi turut melonjakkan harapan anak bangsa dan masyarakat Melayu serta kerajaan yang mentadbir untuk melihat IPSI benar-benar menjadi tunggak harapan bagi mempertingkatkan taraf pendidikan rakyat, khususnya orang-orang Melayu. Justeru, IPSI mengorak langkah panjang dengan memperkenalkan pelbagai rancangan. Kedudukan tarafnya lebih tinggi berbanding maktab-maktab perguruan yang lain dan diberi kuasa mengendalikan Diploma Keguruan, Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) pada tahun 1987 dan Kursus Sijil Lanjutan Perguruan bermula tahun 1988. Pada tahun 1993 Kursus Kembaran dengan Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) pula diadakan dalam bidang Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani.

Peranan SITC dan MPSI telah diperkasakan dalam era IPSI menerusi rangkaian kerjasama pengajian yang diadakan dengan pihak-pihak lain di luar IPSI. Ruang lingkup dan sempadan jangkauan IPSI merentas tembok itu sendiri. IPSI bergerak seiring dengan kemajuan institusi-institusi pengajian tinggi lain dalam konteks merealisasikan matlamat kerajaan untuk menghasilkan tenaga pengajar yang berwibawa dan bermanfaat demi kesejahteraan masyarakat dan negara. Peranan IPSI berterusan hingga ke tahun 1993 apabila pada masa itu sistem latihan perguruan mengamalkan sistem bersepadu, iaitu sesebuah maktab perguruan melatih guru-guru untuk sekolah rendah dan menengah.

Genap usia 10 tahun, IPSI memasuki era barunya pada tahun 1997 dengan langkah yang penuh bergaya apabila Institusi ini secara rasmi dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti bermula 1 Mei 1997 iaitu diganti dengan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris selaras dengan matlamat kerajaan untuk memastikan semua guru di sekolah rendah dan menengah mempunyai ijazah. Ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau kemudian membuat pengumuman agar UPSI dibuka seluas-luasnya untuk kaum bukan Melayu/Bumiputera. Malahan, setahun kemudian, di UPSI tenaga pengajar daripada kaum Cina dan India dilihat semakin bertambah bilangannya. Kini, di UPSI, baik penuntut mahupun tenaga pengajar daripada kaum Cina dan India (termasuk yang bertaraf Profesor) semakin bertambah. May be this is the meaning of 1Malaysia. No Komen about this!!!! I should be get the percentage of race first!!!.

Teras utama (core business) Universiti ini adalah berlandaskan bidang pedagogi untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di semua peringkat dalam pelbagai disiplin. Semasa kelulusan penubuhan UPSI, pihak kabinet telah meluluskan 4 buah fakulti asas sebagai permulaan untuk pengoperasian universiti ini dan kini bagi membantu Kementerian Pelajaran (KPM) melahirkan tenaga guru berkualiti, UPSI menggerakkan 8 fakulti iaitu Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Fakulti Seni dan Muzik, Fakulti Bahasa, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Fakulti Sains Sukan dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (this is my faculty!!) yang menawarkan program ijazah pertama, ijazah sarjana dan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan. Selain itu, UPSI turut menawarkan program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) sepertimana yang saya ikuti sekarang.

Menjenguk ke dasar sejarahya, menyedarkan kita bahawa, perjalanan institusi ini adalah satu perjalanan sejarah yang panjang dan unik. Setiap era yang menjadi titik persinggahannya mencatat satu perubahan besar, dan perubahan inilah yang akhirnya menganjak paradigma masyarakat Melayu terhadap keunggulannya. Realiti kewujudannya sebagai sebuah universiti adalah satu manifestasi sejarah yang tidak boleh ditolak lagi.

Sememangnya tanah pusaka ini masih menyimpan sejarah besar dunia perguruan di negara ini. Lipatan sejarah ini masih terbela bersama bukti yang terpahat di sebalik cerita dan keagungannya seperti teguhnya Bangunan Suluh Budiman yang menyimpan seribu satu cerita peradaban melayu


Penuntut lelaki Sultan Idris Training College (SITC).
Komen saya : Saya rasa gambar ini diambil sekitar tahun 1920an tetapi bangunan yang melatarinya saya kurang pasti. Yang bertongkat itu mungkin pengetua (orang Melayu) manakala yang meriba anak kecil itu pula mungkin salah seorang daripada tenaga pengajarnya. Kesemuanya berkot, bertie dan bersongkok. Sememangnya, trend berpakaian ini sudah menular sebelum merdeka lagi. Wahai pejuang-pejuang bangsaku, terima kasih ku ucapkan. Semoga kalian dicucuhi rahmahNya. Insyallah....



Persembahan drama oleh Pelajar Sultan Idris Training College.
Komen Saya : Jangan keliru! Saya rasa yang berada ditengah2 bak puteri itu adalah lelaki memandangkan pada tahun 1931 penuntut perempuan masih belum ada di SITC. Pakaian perserta pada pendapat saya seperti pakaian yang dipakai dalam tarian orang portugis di Melaka (saya lupa nama tarian itu). Saya tak tahu dimana gambar ini diambil. Mungkin pentas ini dah tak ada sekarang. Pentasnya seperti dalam cerita P. Ramlee jea.


Universiti Pendidikan Sultan Idris dahulu sebagai Sultan Idris Training College di Tanjung Malim
Komen saya : Ini merupakan Bangunan Suluh Budiman yang siap dibina pada 1919. Bangunan ini merupakan salah satu bangunan yang telah disenaraikan di bawah kategori Tapak Warisan Kebudayaan. Bangunan ini telah dijadikan muzium. Saya belum berkesempatan lagi meneroka apa yang terkandung dalam muzium ini, memandangkan muzium ini masih dalam proses renovation sejak 2 – 3 bulan kebelakangan ini. Muzium ini masih tersegam indah, rekabentuknya masih sama. Malahan, tiang bendera masih berada pada posisi yang sama. Kelihatan terdapat bukit /gunung yang berada di sebalik bangunan ini. Gunung apakah itu? Terletak berhadapan dengan padang UPSI. Saya tidak pasti bila gambar ini dimbil. Pada ketika ini juga, sudah kelihatan kereta dan motosikal yang digunakan di SITC.



Persembahan gimnastik oleh Penuntut Sultan Idris Training College
Komen Saya : Gimnastik? Kelakar pun ada. Haha3.. Mungkin inilah gaya mereka bergimnastik pada ketika itu dan mungkin juga ini gaya yang menjadi johan pada ketika itu. Kenapa penuntut-penuntutnya saya lihat seperti budak sekolah sahaja? Bangunan yang kelihatan itu mungkin juga bangunan Anjung Seri Lanang. Bangunan tersebut masih ada hingga sekarang. Rekabentuk bangunan tersebut sungguh unik.

Insyalah pada kesempatan mendatang, saya akan membawa anda menyelusuri secebis sejarah UPSI yang masih tersegam indah untuk ikhtibar kita semua....


Free Smilies courtesy of www.GreenSmilies.com

No comments: